Followers

Wednesday, July 22, 2015

BERIKAN CADANGAN BAGAIMANA PENGETUA ATAU GURU BESAR SESEBUAH SEKOLAH MENENGAH ATAU RENDAH DAPAT MENAMBAHKAN SUMBER KEWANGAN SEKOLAH SELAIN PEMBERIAN PERUNTUKAN DARI KERAJAAN.


 oleh:  Mek Beris aka Pn juariah Hj yunus

1.  Pengenalan
Aspek kewangan merupakan satu tugas penting yang perlu dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Pengetua atau Guru Besar akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan aspek kewangan sekolah dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Beliau juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tiada sebarang penyelewangan berlaku di dalam pentadbiran kewangan  sekolahnya. Oleh itu, pengetua atau Guru Besar  adalah bertanggungjawab  untuk menentukan  pentadbiran kewangan sekolah dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Buku Panduan Kewangan Sekolah, Arahan Perbendaharaan dan surat-surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri dari masa ke semasa. Pengetua atau Guru Besar dikehendaki mengkaji dan mematuhi segala prosedur kewangan ini  bagi menentukan kelicinan pengurusan kewangan sekolah. Oleh yang demikian , pengetahuan dalam ilmu simpan kira adalah perlu untuk membolehkan pengetua membuat perancangan kewangan di samping menyelia kerja-kerja perkeranian dengan berkesan.
Setiap tahun Kementerian Pelajaran telah membelanjakan berjuta ringgit untuk pendidikan rendah dan menengah. Dalam Rancangan Malaysia Keenam peruntukan untuk pembangunan sekolah menengah ialah RM2,050.7 juta dan sekolah rendah ialah RM 1.184.7 juta, manakala dalam Rancangan Malaysia Ketujuh pula peruntukan untuk pembangunan sekolah menengah ialah sebanyak RM 2,447.9  juta dan sekolah rendah ialah RM 1,396 juta ( Kerajaan Malaysia 1996). Dalam  Rancangan Malaysia Ke 8 (1996-2005) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di parlimen pula, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 2,750.00 juta bagi perbelanjaan pembangunan pendidikan rendah dan sebanyak RM 4862.2 juta bagi pendidikan menengah.
Timbul persoalan di sini apakah peruntukan kerajaan itu mencukupi untuk menampung perbelanjaan di sekolah?  Sering kali kita dengar rungutan dari pengetua atau Guru Besar tentang masalah kewangan yang tidak mencukupi terutama pemberian Bantuan Per Kapita (LPBT/LPK).  Pemberian  ini adalah untuk membayar  bil-bil elektrik, air, telefon, pengangkutan pelajar, percetakan, membeli bahan dan bekalan sekolah dan membeli alatan untuk mengajar. Ini disebabkan harga barang dan perkhidmatan telah naik pada tiap tahun, sedangkan peruntukan dan pemberian kerajaan adalah nilainya tetap setiap tahun. Hal ini ada dinyatakan dalam  satu kajian kes yang dilakukan oleh Shahril (1993) di dua buah sekolah menengah jenis kebangsaan di Negeri Sembilan. Begitu juga dengan bantuan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, Perpustakaan dan Pusat Sumber Sekolah. ( Shahril, 1999). Jadi dalam keadaan seperti ini Pengetua atau Guru Besar harus bijak mencari sumber kewangan yang lain selain dari peruntukan yang diberi oleh kerajaan.
Satu perkara lagi yang harus diperkatakan di sini ialah keupayaan sesebuah sekolah untuk menjayakan pelbagai program dan aktiviti. Ia juga banyak bergantung kepada kebolehan pemimpin sekolah mencari dan menguruskan sumber kewangannya sendiri terutama sekali Pengetua atau  Guru Besar sekolah. , Oleh kerana itu Pengetua atau Guru Besar perlulah menggunakan pelbagai jalan dan alternatif bagi mencari sumber kewangan untuk menggerakkan pelbagai program dan aktiviti sekolah.
2.  Cadangan-Cadangan Bagi Menambah Sumber Kewangan Sekolah.
Soal berkenaan pengurusan kewangan sekolah yang cekap dan mematuhi kehendak-kehendak  pengurusan kewangan  bukanlah suatu perkara baru. Namun demikian melalui beberapa pemerhatian dan tinjauan secara rawak masih terdapat beberapa kelemahan atau kekangan-kekangan yang berlaku di sesetengah sekolah dalam soal pengurusan sumber bagi mencapai matlamat pengurusan kewangan. Walau pun kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam bidang pendidikan melebihi bidang pembangunan yang lain namun perbelanjaan yang diagihkan ke sekolah-sekolah masih belum mencukupi bagi membiayai  perbelanjaan yang semakin meningkat disebabkan harga di pasaran semakin naik.  Sehubungan dengan itu Pengetua atau Guru Besar  yang kreatif haruslah memikirkan beberapa alternatif untuk menambah sumber kewangan bagi menampung kekurangan tersebut. Antara cadangan alternatif tersebut ialah:
1. Yuran sekolah ( abaikan yang ini kerana yuran persekolahan diberi percuma oleh kerajaan )
Kutipan yuran  sekolah adalah bukan perkara baru bagi menambah  sumber kewangan. Yuran sekolah terdiri daripada yuran khas pelajar dan kutipan-kutipan yang lain.  Kutipan wang bagi sukan, perpustakaan dan seni/lukisan termasuk dalam yuran khas yang telah ditetapkan. Walaupun yuran khas dibenarkan untuk dipungut, namun Pengetua atau Guru Besar hanya dihadkan kepada RM 9.00 sahaja untuk seorang pelajar. Katakan bilangan pelajar di sekolah tersebut 1500 orang , maka pengetua akan dapat kutipan sebanyak RM 13,500.00 sahaja. Selain daripada  itu pengetua atau guru besar boleh membuat tambahan kutipan seperti MSSM/MSSD/MSSK, kertas ujian, ko kurikulum, majalah sekolah dan takaful . Perlu diingat juga , untuk  kutipan-kutipan lain tersebut , pengetua dan guru besar perlu mengambil kata putus dari PIBG supaya tidak timbul isu atau masalah dalam kutipan yuran sekolah nanti. Setelah diputuskan dalam mesyuarat PIBG maka pengetua atau guru besar hendaklah membuat permohonan  dari Jabatan Pelajaran Negeri pada selewat-lewatnya 1.9.2004 bagi kutipan tahun 2005.  Setelah diluluskan , pengetua atau guru besar hendaklah menurunkan surat kuasa kepada guru-guru yang ditugaskan untuk mengutip yuran tersebut.
Pengetua atau guru besar hendaklah bijak dalam menyelesaikan masalah kutipan yuran sekolah  supaya tidak timbul nanti pelajar yang tidak membayar yuran sekolah sampai akhir tahun persekolahan. Bagi mendapat pembayaran yang penuh daripada pelajar apa salahnya kalau  pengetua atau guru besar menentukan tarikh akhir kutipan. Sebagai contoh, meminta guru-guru memastikan pelajar-pelajar mereka menjelaskan yuran sekolah selewat-lewatnya bulan Mac.
Pengetua atau Guru Besar boleh juga mengambil alternatif dengan  meminta guru–guru yang bertanggungjawab biasanya guru tingkatan supaya membuat kutipan secara ansur bagi pelajar-pelajar yang tidak mampu membayarnya sekali gus. Sekiranya terdapat pelajar-pelajar yang benar-benar miskin yang tidak mampu membayar yuran tersebut, maka pengetua atau guru besar harus bijak menanganinya contohnya memohon sumbangan PIBG bagi menampung bayaran tersebut. Langkah-langkah  yang dinyatakan harus dibuat di samping langkah-langkah yang lain yang bersesuaian bagi memastikan kutipan yuran sekolah dibayar sepenuhnya oleh para pelajar. Ini kerana kutipan yuran sekolah ini banyak membantu dalam  menampung perbelanjaan sekolah di samping wang yang diperuntukan oleh kerajaan.
2.   Derma Daripada Orang Perseorangan Atau Syarikat Swasta.
Kebijaksanaan Pengetua atau Guru Besar menjalin hubungan dengan ibu bapa, komuniti setempat dan syarikat swasta akan juga membuka jalan untuk mendapatkan sumber kewangan samada dalam bentuk wang tunai , harta benda atau sumbangan tenaga.  Pengetua atau guru besar harus bijak mengenali status pekerjaan dan kekuatan yang ada pada ibu bapa atau  penjaga pelajar supaya dapat memohon derma daripada mereka. Mungkin ibu bapa pelajar seorang ahli perniagaan yang berjaya, ia boleh menderma dalam bentuk wang atau harta benda atau seorang motivator terkenal yang boleh memberi sumbangan tenaga dalam program motivasi. Ia dapat menjimatkan perbelanjaan dari segi upah motivator. Dengan  ini peruntukan wang tersebut boleh disalurkan  kepada peruntukan yang lain. 
Pengetua atau Guru Besar harus turun padang bertemu dengan pihak syarikat swasta yang sudah ‘establish’ dan harus bijak menggunakan strategi untuk mendapatkan sumbangan dari mereka. Pengetua atau Guru Besar bolehlah menceritakan masalah yang dihadapi oleh sekolah . sebagai ucapan terima kasih , pihak syarikat swasta tersebut dijemput untuk merasmikan program dan memberi laluan untuk mempromosi syarikat mereka di dalam program hari ko kurikulum misalnya yang jalankan oleh pihak sekolah.
3.  Tajaan Daripada Individu Atau Syarikat Swasta
            Selain daripada memohon derma daripada seseorang individu atau syarikat, Pengetua atau Guru Besar juga boleh mendapatkan sumbangan pendidikan daripada mereka melalui sistem tajaan sama ada dalam bentuk kewangan ataupun harta benda. Dalam hal ini, Pengetua atau Guru Besar boleh mewujudkan taman-taman angkat, kawasan-kawasan angkat, bilik khas dan seumpamanya menurut tajaan seseorang ataupun syarikat tertentu. Kawasan-kawasan atau taman-taman angkat  yang ditaja ditulis nama penaja sebagai tanda terima kasih . Ini seperti dijalankan oleh Pengetua SMK Tinggi Perempuan Melaka.
Pihak bank yang berurusan dengan sekolah boleh dijadikan keluarga angkat sekolah, sebagai contoh, terdapat peruntukan khas bagi pendidikan yang dikeluarkan oleh pihak bank contohnya Bank Rakyat. Jadi segala program yang menjurus kepada pendidikan pelajar misalnya Kem Kecemerlangan Pelajar bolehlah ditaja oleh pihak bank tersebut.  
Segala keperluan peralatan di bilik guru, di pejabat sekolah dan bilik-bilik darjah juga boleh ditaja oleh orang tertentu ataupun pihak swasta. Kawasan-kawasan yang gersang dan tandus boleh diceriakan dengan  sistem tajaan ini. Oleh itu pengetua sekolah perlulah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan sebanyak mungkin tajaan bagi menyediakan prasarana yang selesa dan menjayakan berbagai-bagai aktiviti sekolah.  
4.   Jamuan Makan Malam 
Pengetua atau Guru Besar yang berwawasan biasanya mempunyai perancangan yang teliti mengenai masa depan sekolahnya.  Program Jamuan Makan Malam adalah satu program yang membawa pulangan yang membanggakan. Dengan  melibatkan orang-orang penting termasuk menteri merupakan langkah bijak  bagi mengumpul wang untuk pendidikan di sekolah. Melalui program ini, meja makan berbayar dengan harga tertentu boleh digunakan. Setiap  jemputan perlu membayar harga bagi sesebuah meja tersebut. Selain daripada menteri, biasanya para jemputan adalah terdiri daripada ibu bapa, komuniti setempat dan syarikat swasta.  
Sebagai tarikan untuk menarik ramai penyertaan menyertai Program Jamuan Makan Malam ini, Pengetua atau Guru Besar harus bijak menggunakan strategi tarikan. Sebagai contohnya program ini dijadikan sebagai  Program Makan Malam Bersama Menteri dan diadakan cabutan bertuah yang bernilai seperti penginapan 3 hari 2 malam di beberapa buah hotel dan hadiah-hadiah bernilai yang lain . Pengetua atau Guru Besar harus bijak mendapatkan sumbangan boucer ini daripada hotel-hotel berkenaan. Selain itu, Pengetua atau Guru Besar boleh juga mengambil strategi dalam bentuk pertandingan. Guru-guru atau warga sekolah yang dapat menjual tiket belian meja yang tertinggi akan diberikan hadiah galakan. Dengan ini semangat berlumba-lumba dapat dilahirkan dan seterusnya matlamat program akan tercapai..
Melalui program seperti ini juga, penderma akan dapat menikmati jamuan makan malam di samping membuat sumbangan untuk sekolah.   
5.   Sewa Bangunan dan Kawasan Sekolah (Kantin, Dewan, Padang, asrama)
             Bangunan-bangunan sekolah boleh disewa kepada pihak luar sama ada orang perseorangan atau jabatan-jabatan kerajaan atau swasta . Bangunan tersebut seperti dewan, padang sekolah, kantin dan asrama. Dewan sekolah  boleh disewa untuk majlis-majlis keraian, kenduri perkahwinan dan sebagainya. Ia juga boleh disewa untuk permainan badminton, ping pong, sepak takraw dan sebagainya.
Sementara itu padang sekolah pula boleh disewa untuk olahraga, perlawanan bola sepak, hoki dan sukan rakyat Gelanggang-gelanggang bersimen pula boleh digunakan untuk pertandingan sepak takraw, badminton dan bola tampar.  
Pengetua dan Guru Besar yang bijak dan kreatif  boleh  mempelbagaikan gerai jualan di kantin sekolah. Kantin boleh dipecah-pecahkan kepada sub bahagian. Setiap sub bahagian ini diagihkan kepada orang yang berlainan. Sub bahagian ini hendaklah menyediakan menu yang berbeza dan berlainan. Misalnya ada bahagian yang menjual pelbagai jenis nasi, ada bahagian yang menjual  air sejuk dan panas,  ada bahagian yang menjual masakan panas misalnya pelbagai jenis sup dan mee dan ada bahagian yang menjual makanan segera seperti ‘burger’, ‘nugget’ dan ‘hot dog’, pelbagai jenis kacang dan lain-lain lagi . Dengan ini, sekolah bukan sahaja dapat memungut sewa kantin yang lebih, malahan dapat mempelbagaikan jenis makanan dan melibatkan lebih ramai ahli masyarakat dalam perniagaan di sekolah. 
Bilik asrama sekolah juga boleh disewakan. Ada pihak luar yang mengadakan program lawatan boleh menyewa asrama sekolah bagi menjimatkan belanja kalau sekiranya menyewa di hotel. Pengetua atau Guru Besar boleh sewakan asrama sekolah apabila cuti persekolahan. Dengan sewaan ini, pihak sekolah akan dapat menambahkan sumber kewangan sekolah.
6.  Jualan Hasil Tanaman 
Bagi sekolah yang mempunyai kawasan yang luas dan ada tanaman kekal seperti durian, rambutan, manggis dan kelapa, maka hasil tanaman ini terutama kelapa juga boleh membantu menambahkan sumber kewangan sekolah. Apa yang perlu dilakukan oleh Pengetua atau Guru Besar  ialah mengenalpasti pemborongnya. Pengetua atau Guru Besar boleh meletakkan harga yang lebih murah sedikit berbanding harga pasaran biasa. Ini dapat menarik minat pemborong untuk terus datang membeli hasil tanaman tersebut. Ini seperti diamalkan oleh Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas di Hulu Terengganu.
7.  Projek Pertanian (Tanaman)
            Di samping tanaman kekal, pengetua atau guru besar boleh meminta kerjasama guru-guru Sains Pertanian bagi  menambahkan sumber kewangan sekolah. Aktiviti  menanam tanam-tanaman contohnya sayur-sayuran  boleh memberi pulangan yang baik kepada pihak sekolah.  Aktiviti ini melibatkan pelajar-pelajar Sains Pertanian. Jagaan yang rapi perlu dilakukan agar tanaman memberi hasil yang memuaskan.
Pihak sekolah juga boleh menjalankan kegiatan penyemaian pokok-pokok bunga dan buah-buahan secara komersial untuk pasaran luar.
8. Projek Pertanian (Ternakan)
            Selain daripada tanaman, Pengetua atau Guru Besar juga boleh menjalankan pelbagai projek ternakan seperti ternakan ayam daging, ayam kampung, ikan keli, ikan tilapia, burung puyuh dan sebagainya. Sehubungan itu, pihak sekolah perlulah menyediakan kawasan ternakan yang sesuai .  Ternakan ikan keli dan ikan tilapia  boleh di tempatkan di kolam-kolam sekolah. di samping mencantikkan kolam dan memberi tarikan kepada pelawat dan pengunjung sekolah, pelajar akan dapat mempelajari aspek-aspek penting perusahaan menternak binatang secara ‘hands on’. Parapelajar yang lain juga akan dapat belajar secara langsung dengan dibawa melihat kawasan-kawasan ternakan ini ( selain kolam sekolah), misalnya dari aspek pembiakkan, penetasan dan seumpamanya.
9.  Khidmat Sosial (Kenduri, Persembahan Nasyid, Kumpulan Marhaban, Kompang)
            Pengetua atau Guru Besar boleh menggunakan khidmat tenaga pelajar bagi menampung sumber kewangan sekolah.  Pelajar-pelajar sekolah boleh dilatih untuk memberikan khidmat sosial kepada masyarakat setempat. Khidmat sosial seperti bantuan tenaga di majlis-majlis kenduri perkahwinan, persembahan nasyid, marhaban dan pukulan kompang akan berupaya mengutip wang bagi mengisi tabung pendidikan sekolah. Kumpulan pelajar yang terlatih ini haruslah  diperlengkapkan  dengan pakaian khas yang seragam dan peralatan yang lengkap agar dapat membuat persembahan di majlis-majlis kenduri, keraian dan pelbagai sambutan masyarakat dengan lebih menarik dan meyakinkan.
10.  Mengadakan Projek Besar.
Pengetua atau Guru Besar boleh mencari sumber kewangan dengan mengadakan projek yang melibatkan masyarakat luar termasuklah agensi-agensi kerajaan. Sebagai contohnya Karnival Ko Kurikulum. Masyarakat luar dijemput untuk mengadakan pesta jualan di hari tersebut. Setiap gerai dikenakan sewa yang menasabah. Persatuan dan kelab sekolah juga harus dilibatkan sama dalam pesta jualan tersebut. Di samping mendapat sumber kewangan untuk persatuan dan kelab, mereka juga menyumbang kepada kewangan sekolah. pelajar  juga dapat  mempelajari selok belok ilmu perniagaan.
Agensi-agensi  kerajaan juga dijemput untuk mengadakan pameran dan juga dikenakan sewa bagi tempat pameran tersebut. Di samping ia memberi pendidikan kepada pelajar, ia juga dapat menambahkan sumber kewangan sekolah. 
Jualan kupon juga harus melibatkan masyarakat luar  dan agensi –agensi kerajaan yang menyertai karnival tersebut. PIBG juga dilibatkan untuk mempromosi karnival tersebut supaya lebih ramai pengunjung datang ke karnival tersebut. 
Bagi menarik lebih ramai pengunjung , seharusnya diadakan persembahan pentas dengan menjemput kumpulan nasyid yang top atau kumpulan nasyid dari sekolah-sekolah yang berdekatan. Di samping menghibur, jemputan ini secara tidak langsung akan membawa rakan-rakan mereka ke karnival tersebut.  
Pengetua atau Guru Besar juga boleh melibatkan angkatan tentera untuk melakukan persembahan. Pengetua atau guru besar boleh menggunakan khidmat mereka untuk membuat persembahan terjunan dengan payung terjun, abseling dan sebagainya. Ini akan dapat menarik minat pengunjung datang ke karnival tersebut. 
Pihak sekolah juga boleh mengadakan “jumble Sale’ di karnival ini.. Barangan terpakai yang masih elok dan boleh diguna semula seperti pakaian, buku-buku rujukan, peralatan sekolah, alat permainan dan sebagainya boleh dikumpul dengan kerjasama guru-guru dan pelajar. Hasil jualan lelong ini akan menambah sumber kewangan sekolah. 
Selain itu, pihak sekolah juga boleh memohon sumbangan daripada individu mahupun syarikat-syarikat pembekal barangan sekolah bagi menjayakan Hari Karnival ini. Pihak  sekolah boleh memohon sumbangan dalam apa jua yang diperlukan misalnya  air minuman botol dan tin, hamper makanan, ayam, khemah dan sebagainya.
11.  Pungutan Derma Projek Khas. 
Di samping karnival hari ko kurikulum, Pengetua atau Guru Besar boleh mengadakan program projek khas misalnya projek menaik taraf  Pusat Sumber, Projek Kelas Komputer, Projek Bina Surau dan sebagainya.  Dengan melibatkan PIBG sekolah pungutan derma dijalankan. Pungutan derma secara besar-besaran harus mengikut prosedur-prosedur tertentu. Pungutan derma ini bolehlah dijalankan di seluruh Malaysia dengan menghantar surat memohon derma ke sekolah-sekolah, surau-surau, jabatan-jabatan kerajaan atau swasta dan badan-badan berkanun. Derma bergerak juga boleh dijalankan di taman-taman perumahan dengan melibatkan guru-guru dan pelajar dengan syarat mendapat kelulusan dari pihak polis. Derma yang dipungut ini dapat menjimatkan perbelanjaan dari sumber kewangan yang diperuntukan oleh kerajaan.   
12.  Hari Kantin           
            Selain karnival besar-besaran itu, sekolah boleh juga mengadakan Program Hari Kantin .Sekolah  boleh mengusahakannya bersama-sama guru-guru dan pelajar. Hari kantin ini boleh dijalankan dua kali satu penggal. Melalui program seperti ini  kantin dan koperasi sekolah hendaklah ditutup bagi memberi laluan kepada persatuan dan kelab pelajar untuk menjual makanan mereka. Makanan-makanan yang dijual pada hari tersebut dijual pada harga yang agak tinggi sedikit berdasarkan konsep membeli sambil menderma kepada pihak sekolah.
13.  Menjual Kalendar
Pihak sekolah juga boleh menambahkan dana pendidikan sekolah melalui penjualan kalendar sekolah. Kalendar  yang menarik dan mudah digunapakai oleh para pelajar dan ibu bapa yang mempunyai sedikit maklumat sekolah serta takwim sekolah akan dapat membantu ibu bapa merancang aktiviti persekolahan anak-anak mereka. Selain itu, kalendar sekolah ini juga boleh dijual ke tempat-tempat lain dengan bantuan PIBG, orang perseorangan dan sebagainya.
14.  Sumbangan Daripada Persatuan Bekas Pelajar
            Pihak sekolah juga boleh mendapatkan sumbangan kewangan daripada persatuan bekas pelajar sekolah berkenaan  . Pada kebiasaannya, persatuan bekas pelajar akan memberikan komitmen yang tinggi kepada sekolah tempat mereka belajar. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menghulurkan sumbangan kepada sekolah yang telah mendidik mereka sehingga berjaya.. Di samping itu, pihak persatuan boleh menghulurkan bantuan kepakaran dan tenaga kepada pihak sekolah dalam menjayakan sesuatu aktiviti seperti ceramah motivasi, perkhemahan, latihan sukan dan sebagainya. Semua bentuk bantuan ini sekurang-kurangnya akan dapat menjimatkan perbelanjaan sekolah. 
    15.  ‘Recycle’
            ‘Recycle’ atau kitar semula merupakan program yang boleh mendatangkan hasil kepada sekolah. Selain daripada menanam budaya menjaga alam sekitar, pelajar juga boleh memberikan sumbangan kepada pihak sekolah. Di antara bahan-bahan yang boleh dikumpul oleh pihak sekolah seperti surat-surat khabar lama, kertas-kertas pendua yang sudah tidak digunakan, kertas soalan peperiksaan dan pelbagai jenis kertas lain . Pelajar-pelajar juga boleh membuat sumbangan derma dalam bentuk barangan lain seperti botol-botol kaca dan tin-tin minuman. Bahan-bahan kitar semula ini boleh dijual kepada syarikat kitar semula dan hasilnya dapatlah digunakan untuk keperluan pendidikan di sekolah.
Di samping itu , tin-tin minuman boleh mendatangkan hasil kreativiti yang cantik dan menarik. Dengan bantuan guru seni dan pelajar-pelajarnya, pengetua atau guru besar boleh menambah sumber kewangan dengan memberi galakkan kepada mereka untuk menghasilkan kreativiti mereka. Sebagai  contoh tin-tin minuman kosong boleh dijadikan rama-rama yang cantik. Di samping ia boleh digunakan untuk mencantikkan dan menceriakan taman lanskap sekolah, ia juga boleh dijual dan mendatangkan hasil lumayan. Ini dapat dibuktikan oleh Sekolah Kebangsaan Hamzah 2, Machang, Kelantan, seperti yang diketengahkan oleh  Majalah Tiga pada 5 Mac 2005 jam 9.00 malam.
16.  Bantuan Kerajaan Negeri
            Pengetua dan guru besar boleh juga melibatkan Kerajaan Negeri bagi menambah sumber kewangan. Pengetua dan guru besar boleh menggunakan ADUN  Kerajaan Negeri bagi tujuan ini. ADUN ini boleh dijemput untuk merasmikan program sekolah dan menjadi kebiasaan bagi mereka  memberi sumbangan kepada sekolah.
Bagi Kerajaan Negeri yang mempunyai hasil negeri yang banyak seperti kayu-kayan, hasil perlombongan, cukai perniagaan dan sebagainya contohnya Negeri Terengganu yang mempunyai hasil minyak petronas, sekolah-sekolah di bawah pentadbirannya telah diberikan peruntukan khas iaitu Dana Wang Ehsan. Biasanya wang ini digunakan untuk membiayai program Eitems dan bayaran kepada guru-guru yang memberi kelas tambahan. Begitu juga peruntukan makanan pelajar semasa kelas tambahan itu diadakan. Bagi sekolah-sekolah yang tidak mendapat peruntukan sedemikian maka kebijaksanaan Pengetua atau Guru Besar menjalankan peranannya bagi mendapatkan peruntukan atau sumbangan tersebut.
Pengetua dan Guru Besar boleh juga memohon sumbangan dari Kerajaan Persekutuan. Permohonan  ini hendaklah dibuat melalui PIBG sekolah atau dengan kerjasama  ADUN.
 17.     Sumbangan Badan Korporat.
Pengetua dan Guru Besar harus menjalin hubungan dengan badan-badan korporat seperti SHELL dan INFONEON yang boleh dijadikan ‘partnership’. Penajaan dalam beberapa program dan aktiviti sekolah misalnya program motivasi boleh menjimatkan perbelanjaan sekolah.
18.              Sumbangan Dari Yayasan Al Bukhari
Yayasan al Bukhari banyak memberi sumbangan kepada pendidikan sekolah. sekolah-sekolah yang terpilih telah diberikan tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar Islam. Tuisyen tersebut terkenal dengan nama Tuisyen al Bukhari. Guru-guru yang terlibat dengan tuisyen tersebut telah diberi bayaran bulanan.
Bagi sekolah-sekolah yang tidak dipilih harus bijak menggunakan kemahiran untuk memohon sumbangan daripada yayasan tersebut. Tetapi Pengetua atau Guru Besar harus ingat bahawa sumbangan dari yayasan ini hanyalah untuk pelajar-pelajar Islam, tidak kepada pelajar-pelajar bukan Islam.
   19.     Dana Khas Sekolah. 
Walau pun pengetua atau guru besar mempunyai dua kumpulan wang iaitu Kumpulan Wang Kerajaan di mana segala peruntukan dari kerajaan dimasukkan kepada kumpulan wang ini dan Kumpulan Wang SUWA di mana Pengetua atau Guru Besar memasukkan yuran sekolah, yuran khas, derma , sewa kantin, padang, dewan dan sebagainya, namun Pengetua atau Guru Besar boleh mengadakan Dana Khas Sekolah seperti yang diadakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak. Segala kutipan wang kecemerlangan  yang dikutip dari pelajar di awal tahun, telah dimasukkan ke dalam dana tersebut. Di samping itu juga pelajar-pelajar menengah rendah  dikenakan bayaran sebanyak RM 20.00 sebulan dan pelajar-pelajar menengah atas dikenakan bayaran sebanyak RM 30.00 sebulan. Bayaran ini adalah untuk kelas tuisyen mereka di mana sebanyak empat subjek untuk satu minggu. Dengan wang itu, sekolah telah dapat membayar guru-guru  pakar yang memberi tuisyen tersebut. Di samping wang kecemerlangan, derma-derma dari orang perorangan juga dimasukkan ke dalam dana tersebut. Ia bukan sahaja menyenangkan pengurusan kewangan tetapi juga dapat mengelak dari audit bersyarat.
 20.  Sumber-Sumber Lain.
Selain dari sumber-sumber tambahan kewangan  yang dinyatakan, Pengetua atau Guru Besar boleh juga menggunakan perkhidmatan pelajar yang mengambil Mata Pelajaran Vokasional. Contohnya ‘Catering,’ ‘Landscaping’ dan ‘Seni Reka Tanda’. Kemahiran mereka dalam Catering, Lanskap dan Seni Reka Tanda boleh mendatangkan sumber kewangan yang lumayan  jika bijak mengurusnya. 
Kesimpulan 
Di samping menerima peruntukkan kerajaan , Pengetua atau Guru Besar harus kreatif dalam mencari alternatif  bagi menambah sumber kewangan sekolah. Pengetua atau guru besar harus juga mengambil idea dari sekolah-sekolah yang lain dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh menampung kekurangan wang perbelanjaan. Idea ini bukan diambil secara bulat-bulat tetapi ia hendaklah bersesuaian dengan kehendak dan budaya sekolah. Pengetua atau guru besar juga harus bijak memasukkan sumber kewangan tersebut di dalam kumpulan wang yang sesuai supaya tidak menimbulkan masalah dalam pengurusan perbelanjaan sekolah.


RUJUKAN
Kerajaan Malaysia 1996 Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) Kuala Lumpur: Percetakan Negeri.
Shahril @ Charil Marzuki(1999), Kepimpinan pengetua yang berkesan dalam pengurusan kewangan sekolah bagi menghadapi alaf baru, Masalah Pendidikan Jilid 22, Universiti Malaya.
Shahril @ Charil Marzuki(1993), Pengurusan kewangan sekolah – satu kajian kes, Jurnal Pendidikan ( Journal Of Education Research ) , Jilid 15, Universiti Malaya
Utusan Malaysia, Rencana Rancangan Malaysia Kelapan (1996-2005) Selasa 24/4/2001.
 RUJUKAN DARI INTERNET
Laman Web Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas. Hulu Terengganu, Terengganu.
RUJUKAN DARI SUMBER LAIN.
Temubual dengan kerani kewangan di tiga buah sekolah menengah kerajaan iaitu SMK Air Molek, Melaka, SMK Tinggi Perempuan Melaka dan SMK Tun Perak, Jasin, Melaka.
Majalah Tiga TV3  bertarikh 5 Mac 2005 jam 9.00 malam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...