Followers

Wednesday, July 22, 2015

PSIKOMETRIK REMAJA


SATU TINJAUAN TERHADAP PERSONALITI PELAJAR PEREMPUAN DI SEBUAH SEKOLAH MENENGAH DI MELAKA.
Oleh: MEK bERIS aka Pn Juariah Hj Yunus

Pengenalan
Dalam ucapan Y.B. Dato' Chua Jui Meng, Menteri Kesihatan Malaysia Di Pelancaran Dasar Kesihatan Remaja menjelaskan bahawa menjelang tahun 2001, golongan remaja di dunia dijangkakan mencecah sejumlah 2 ribu juta orang. Walaupun secara umumnya peratus jumlah penduduk berusia kurang dari 20 tahun berkurangan dari 40 peratus kepada 32 peratus pada tahun 2025, tetapi jumlah golongan ini dijangkakan akan bertambah sebanyak 252 juta dan 85 peratus dari golongan tersebut berada di dalam negara yang sedang membangun. Adalah dijangkakan di antara tahun 1970 hingga 2025, populasi remaja di kawasan bandar akan meningkat sebanyak 600 peratus.
Pada tahun 1992 hingga 1996, remaja membentuk sejumlah 20.9 peratus dari penduduk Malaysia atau sejumlah 4 juta. Peratusan golongan remaja dijangkakan akan berkurangan kepada 19.7 peratus menjelang tahun 2005. Bagaimanapun dari segi jumlah, golongan remaja akan bertambah dari sekitar 4 juta pada tahun 1993 kepada 5 juta menjelang tahun 2005. Dari jumlah ini 10 peratus berada di dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun manakala 9.9 peratus lagi berusia di antara 15 hingga 19 tahun.
Dalam keadaan yang sedemikian, bidang pendidikan semakin mencabar terutama sekali bila berdepan dengan golongan remaja ini. Zaman remaja merupakan satu tempoh yang penting bagi setiap individu kerana merupakan tempoh seseorang menyediakan dirinya bagi menempoh alam dewasa. Peringkat remaja bermula dalam lingkungan 12 tahun dan berakhir apabila pertumbuhan fizikal sudah berhenti iaitu pada umur 20 tahun.( Azizi ,Jaafar,Shahrin, Yusof. 2005)  
Zaman ini boleh diibaratkan sebagai sebuah jambatan antara dua zaman iaitu zaman kanak-kanak menuju ke zaman dewasa. Pada peringkat ini berlakulah perubahan tertentu yang menandakan seseorang itu bukan lagi kanak-kanak tetapi sudah menjadi remaja. Perubahan yang dimaksudkan meliputi perubahan dari segi biologi, sosial ,emosi dan moral. Perubahan sedemikian menuntut seseorang yang mengalaminya membuat penyesuaian. Bagi sesetengah remaja, mereka dapat membuat penyesuaian dengan perubahan yang berlaku, tetapi tidak pula bagi sesetengah yang lain. Justeru sokongan dan bimbingan daripada orang di sekeliling terutamanya ibu bapa dan guru-guru adalah sangat penting. Apabila orang dewasa memahami dan bertoleransi dengan anak remaja, selagi mereka tidak melanggar norma masyarakat dan ajaran agama, remaja akan dapat melalui zaman yang sering dikaitkan dengan tempoh yang penuh dengan tekanan ini dengan lebih bermakna.( Melati Bt Sumari. 2000)
Permasalahan kajian.
Sejak dahulu, masalah disiplin dan masalah akademik adalah perkara biasa di peringkat sekolah. Ini adalah kerana pelajar-pelajar terdiri daripada latarbelakang yang berbeza. Mereka adalah merupakan individu yang berbeza dari segi kognitif, emosi, fizikal, moral, minat, tingkah laku, personaliti, sosial, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat di kalangan mereka walau pun mereka ditempatkan di dalam satu kelas yang sama. Oleh hal yang demikian, tahap pembelajaran mereka juga berbeza.
Guru-guru harus menyedari tentang kepelbagaian tingkahlaku mereka ini agar menyenangkan guru-guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tingkah laku dan personaliti mereka. Ini kerana di dalam sebuah kelas yang mengandungi ramai pelajar, perbezaan-perbezaan ini sememangnya tidak dapat diberi perhatian dan dilayani oleh guru secara penuhnya.tambahan pula untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang begitu berat, guru terpaksa menggunakan kaedah seluruh kelas sebagai aktiviti pengajaran mereka. Guru-guru yang tidak memahami personaliti pelajarnya akan mengalami tekanan dalam menangani tingkah laku mereka. Yang   menjadi  lebih malang lagi ialah pelajar-pelajar yang mempunyai personaliti yang rendah akan menimbulkan banyak masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Dalam mengenalpasti personaliti pelajar ini, kebiasaannya dijalankan oleh guru yang dilantik sebagai kaunselor sekolah.  Walau bagaimanapun guru-guru matapelajaran harus mengambil peranan ini dalam menolong pelajar membentuk konsep kendiri yang positif dan mengubah tingkah laku bermasalah pelajar kepada tingkah laku yang diingini. Di samping itu aspek yang penting ialah menolong pelajar memahami dan membentuk  nilai, sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan budaya sekolah dan norma masyarakat dan seterunya  menolong pelajar memahami kekuatan dan kelemahannya agar mereka dapat menyesuaikan diri mengikut kebolehannya serta dapat memilih dan merancang untuk masa depannya. ( Mok Soon Sang, 2003)
Menurut Lickona(1993) terdapat tiga sebab mengapa pembentukan tingkahlaku menjadi semakin popular:-
  1. pendidikan tingkahlaku di rumah rendah
  2. tingkahlaku remaja yang semakin membimbangkan
  3. kesedaran terhadap nilai-nilai seperti tanggungjawab, hormat menghormati, percaya mempercayai, adil, penyayang dan nilai-nilai sivik semakin tinggi. 
Lemming berpendapat  bahawa pendidikan tingkah laku ini seharusnya ditekankan di dalam budaya seharian di sekolah bukan di dalam sukatan kurikulum. Beliau berpendapat bahawa tingkahlaku dibangunkan di dalam jaringan sosial atau persekitaran. 
Objektif kajian.

Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk:
i.                     Melihat dan mengenalpasti personaliti   pelajar  tingkatan 5
ii.                   Melihat perbezaan  personaliti  pelajar  mengikut  kelas
iii.                  Melihat  hubungan di antara pencapaian akademik pelajar dengan personaliti yang dimiliki oleh pelajar tersebut.
 Soalan kajian
Berpandukan kepada objektif tersebut, kajian ini akan menjawap persoalan seperti berikut:
i.                     Apakah personaliti yang dimiliki oleh pelajar tingkatan 5?
ii.                   Adakah perbezaan kecenderongan personaliti pelajar mengikut kelas?
iii.                  Adakah terdapat hubungan di antara personaliti pelajar dengan pencapaian akademik mereka?
 Kepentingan kajian.
Hasil kajian ini penting kepada beberapa pihak yang mempunyai hubungan langsung dengan pengurusan dan pembangunan diri pelajar . Kajian ini boleh dijadikan input kepada guru-guru untuk menilai dan mengenalpasti personaliti pelajar dan kesedaran ini diharapkan akan mendorong kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara lebih berkesan dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik pelajar  dengan lebih cemerlang.
 Batasan kajian
 Kajian ini dijalankan di sebuah sekolah yang terletak di Melaka. Sekolah yang dipilih merupakan sekolah menengah gred A.  Kajian  ini melibatkan 42 orang pelajar perempuan Tingkatan Lima.
 Kajian ini hanya dibataskan kepada soalan  kajian iaitu melihat kecenderongan personaliti pelajar Tingkatan Lima, perbezaan di antara kecenderongan personaliti mengikut kelas dan melihat hubungan di antara personaliti pelajar dengan pencapaian akademik mereka.
 Kajian Literatur.
Mengikut satu bancian terbaru, 20% daripada penduduk dunia terdiri daripada golongan remaja (Utusan Malaysia, 7 November 1997). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan definisi golongan remaja sebagai "mereka yang berada dalam lingkungan usia 10 hingga 19 tahun". Di dalam lingkungan usia yang dinyatakan ini sepatutnya ialah satu peringkat umur di mana mereka berada di bangku sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan.
Laporan terbaru mengenai nisbah bilangan penduduk berbanding umur oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah golongan yang berumur antara 1 hingga 19 mencapai 44.13% iaitu 10 juta daripada keseluruhan populasi negara. Daripada jumlah ini, peringkat umur mereka yang berada di antara 1 – 9 tahun adalah terdiri daripada 22.99% manakala untuk peringkat umur di antara 10 - 19 tahun (remaja) mencapai 21.14% (Nanyang Siang Pau, 2 Ogos 1998). Struktur sosial masyarakat di Malaysia kini adalah lebih tertumpu kepada golongan muda atau lebih tepat lagi golongan remaja. Golongan ini bergantung kepada keluarga dan sekolah atas pemberian perlindungan dan juga pendidikan supaya mereka mampu berdikari dan seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kepada negara apabila dewasa kelak. Tahap pencapaian pendidikan mereka ini akan mencorakkan keadaan sosial sesebuah negara.
            Kualiti keperibadian dan kemahiran sosial yang remaja miliki merupakan dua perkara penting dalam penerimaan dari segi sosial ( Meyers & Nelson, 1986) Kajian yang dijalankan oleh East Lerner, Lerner, Soni, Ohannessian & Jacobson (1992) menunjukkan semakin bertambah usia remaja, semakin bertambah penekanan kepada populariti yang berdasarkan kualiti keperibadian berbanding dengan faktor lain seperti tarikan fizikal. Antara kualiti yang disukai yang membolehkan remaja diterima dan popular di kalangan rakan sebaya ialah sikap memahami, baik hati, simpati, bekerjasama, jujur, optimis, bertanggungjawab dan berminat menyertai aktiviti bersama rakan mereka.
Malm dan Jamison (1952) menggariskan beberapa ciri remaja yang memperolehi kematangan emosi iaitu yakin pada diri sendiri, sabar, menyayangi orang lain dan mencapai kebebasan kebergantungan emosi. Kematangan ini tidak akan dapat dicapai sepenuhnya andai tiada bimbingan dan sokongan orang dewasa. Bimbingan dan sokongan terutama dari guru memainkan peranan penting dalam membantu remaja berkembang.
Ada banyak faktor yang menentukan pencapaian akademik seseorang pelajar. Antara faktor-faktor itu ialah faktor kecerdasan, kualiti pengajaran, kedudukan sosio – ekonomi , kecukupan kelengkapan dan kemudahan belajar, motivasi pelajar, sikap dan tabiat belajar  dan keadaan persekitaran. Faktor kecerdasan memang penting. Pelajar-pelajar yang mempunyai kecerdasan yang tinggi akan  lebih cepat dan lebih mudah menguasai bahan-bahan dan perkara-perkara  yang diperolehi.( Suradi Salim, 1987) 
 Mohyani Razikin (1976) menyatakan bahawa 47% daripada varian pencapaian akademik pelajar sekolah menengah di Malaysia dipengaruhi oleh faktor-faktor sekolah, sifat-sifat pelajar, latar belakang keluarga dan aktiviti ko-kurikulum. Fitt (1957) pula menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang pencapaian tinggi lebih bertanggungjawab dan lebih menyukai sekolah berbanding dengan mereka yang berpencapaian rendah dan terdapat hubungan yang positif antara sikap pelajar dengan pencapaian akademik.Pelajar-pelajar berpencapaian tinggi menyukai semua matapelajaran dan aktiviti ko-kurikulum, memberi perhatian kepada pembelajaran dan mempercayai bahawa cita-cita mereka hanya dapat dicapai melalui sekolah.(Maniam,1992)( dalam Abdul Razak Habib dan Rashidi Azizan 1996).
 Metodologi  Kajian
 Reka bentuk kajian.
Kajian ini adalah merupakan kajian kuantitatif.  Kajian ini hanya melibatkan sampel yang kecil. Pemerolehan datadilakukan secara teknik soal selidik. Kaedah ini sangat praktikal digunakan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.( Mohd Majid Konting, 1990) Reka bentuk kajian ini memberi panduan kepada pengkaji untuk mengumpul, menganalisis dan menginterpretasi data.
 Persampelan.
Persampelan kajian melibatkan 42 orang pelajar perempuan tingkatan lima di sekolah menengah harian gred A dari  dua kelas yang sama aliran iaitu dengan mengambil pakej pengajian Islam/moral, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, EST dan Sejarah . pemilihan kelas berdasarkan kepada keputusan PMR 2003 di mana untuk kelas 4 ST 1/5ST 1 pelajar mestilah mendapat 8A/7A, A dalam  Matematik dan Sains . sementara bagi kelas 4ST 2/5ST 2 pula ialah pelajar mestilah mendapat 7A/6A dalam PMR, sekurang-kurangnya B dalam Matematik dan Sains .Seramai 21 sampel diambil bagi setiap kelas. Ini kerana seramai 6 orang pelajar telah tidak hadir ke sekolah iaitu empat orang dari tingkatan 5ST1 sementara 2 orang dari 5ST2. Pemilihan sampel dari sekolah ini kerana ia  merupakan sekolah kawalan dan memandangkan kepada pencapaian pelajar yang baik.( lihat jadual 1). Dijangkakan responden yang dipilih akan memenuhi tujuan kajian.

Jadual 1  Keputusan Akhir Tahun 2004 – 4STI dan 4 ST2
TING/GRED
0A
1A
2A
3A
4A
5A
6A
7A
8A
9A
JUMLAH
4   ST 1
0
1
5
3
5
4
1
3
3
0
25
4  ST2
1
1
2
5
5
5
1
3
0
0
23


Instrumen
Pengkaji menggunakan instrumen yang telah dibina oleh Sidek et.al (1997) semasa pengendalian kursus Penilaian Dalam Kaunseling untuk pelajar Bacelor Pendidikan ( Bimbingan dan Kaunseling) di Uninversiti Putra Malaysia Terengganu. Alat ukuran ini yang dikenali sebagai inventori Personaliti Warna (IPW) ini mengandungi 100 item yang mempunyai format jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Respond individu kepada item-item yang terkandung dalam alat ukuran ini dikatakan dapat menerangkan cirri-ciri personaliti individu.
Inventori Personaliti Warna adalah satu alat ukuran yang dibina bertujuan untuk mengukur atau mengenalpasti ciri-ciri personaliti berasaskan personaliti warna iaitu Emas, Hijau, Biru dan Jingga. Pentadbirannya memakan masa selama 30 minit.
Umumnya setiap individu mempunyai keempat-empat jenis personaliti  dominant individu. Pentafsiran skor yang diperolehi berhubung dengan trait-trait berkenaan adalah seperti berikut:
1.  EMAS -GOLD
Ciri-ciri umum
Bersikap keibubapaan, mengikut adapt resam, bertanggungjawab, praktis, waras fikiran, boleh dipercayai, setia, traditional atau konservatif, hidup bersistem dan berperaturan serta menaruh perhatian. Kata kunci utama ialah peraturan dan saya bertanggungjawab.
Ciri-ciri diri saya
  • Saya perlu mengikut peraturan dan menghormati pihak berkuasa.
  • Sangat bertanggungjawab
  • Saya taat,boleh diharap dan sentiasa bersedia
  • Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam keidupan
  • Saya seorang peneliti dan bersifat wajar
  • Saya menghormati masa
  • Mahu dianggap sebagai seorang yang berguna
  • Selain setia, saya juga stabil, ada peraturan dan sistematik
  • Saya menghargai hidup berkeluarga, tradisi dan rumahtangga
  • Selalu mengambil tahu tentang sesuatu
  • Memberi perhatian,bersifat konkrit
  • Bersifat keibubapaan
  • Secara semulajadi saya suka mengekalkan atau memelihara sesuatu resam
  • Saya adalah seorang yang suka menolong.
Ciri-ciri saya di tempat kerja
  • Saya menjaga kestabilan dan menyusunatur atau mengorganisasikan tempat kerja
  • Berkebolehan untuk mengendalikan urusan yang perlu perincian
  • Sanggup bekerja keras membuatkan saya dianggap sebagai tulang belakang organisasi
  • Saya percaya bahawa kita mesti bekerja dahulu barulah main, walaupun terpaksa bekerja lebih masa untuk menyelesaikan kerja itu.
  • Kerja mengikut peraturan, bekerjasama dan mengikut kebiasaan.

Ciri-ciri saya semasa kanak-kanak
·        Saya sentiasa mahu mengikut undang-undang dan peaturan sekolah
·        Saya memahami dan menghormati pihak berkuasa
·        Rasa selesa dengan rutin pelajaran
·        Saya rasa dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam system sekolah.

2.  HIJAU – GREEN
 Ciri-ciri umum
Cenderung dan cekap dalam berbagai lapangan,cenderung merekacipta, cekap dalam menjalankan tugas dengan sempurna, bersifat ingin mengetahui, memahami konsep, berpengetahuan luas, berdasarkan teori, bijak dan mahir, panjang akal,kompleks, tenang dan sabar, berfalsafah, berprinsip dan berasaskan logik.  Kata kunci utama ialah mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
 Ciri-ciri diri saya
·        Saya cenderung dan cekap dalam pelbagai lapangan
·        Saya cenderung untuk merekacipta sesuatu yang baru
·        Cekap dan berkebolehan menjalankan tugas dengan sempurna
·        Bersifat ingin mengetahui, berminat tentang konsep, gagasan, tanggapan dan idea.
·        Mempunyai pengetahuan yang luas berdasarkan teori, inventif, bijak, mahir dan panjang akal
·        Mempunyai sikap yang tenang dan sabar, berprinsip dan jujur
·        Mempunyai falsafah dan memerlukan penjelasan dan jawapan
·        Saya mempunyai ciri-ciri analitikal ,investigative dan hipotetikal
Ciri-ciri saya di tempat kerja
  • Saya seorang pemikir konsep yang bebas
  • Bagi saya kerja itu adalah suatu permainan
  • Sering menghadapi cabaran tugas dengan tenang
  • Suka merekacipta model, meneroka idea, atau membina sistem bagi memenuhi keinginan untuk menonjolkan pembaharuan.
  • Apabila saya telah menyempurnakan sesuatu idea, saya suka beralih ke projek lain dan membiarkan orang lain menjaga dan mengendali projek yang lama.
 Ciri-ciri saya semasa kanak-kanak
  • Saya seperti lebih tua dari umur saya daripada segi pemikiran
  • Focus saya ialah kepada perkara yang paling saya minati, iaitu mendapat pencapaian yang tinggi dalam subjek yang merangsang mental saya.
  • Saya tidak sabar dengan kaedah latih-tubi atau rutin. Saya mungkin menyoal guru atau orang lain.
  • Saya fikir adalah perlu untuk menghormati guru sebelum saya boleh belajar daripada mereka.
 3.  BIRU –BLUE
 Ciri-ciri umum
Bersifat tulin, perhubungan mesra, mengasihani, bersimpati, unik, berkebolehan mengalami perasaan dan fikiran orang lain, penyayang dan setia, mesra, berseni, orang yang memberi inspirasi, riang, gembira, penuh kasih sayang, bersemangat dan mempunyai perasaan simpati. Kata kunci utama ialah romantis dan sukakan keharmonian.
 Ciri-ciri diri saya
  • Saya mahu merasa unik dan seorang yang tulin
  • Saya seorang yang mudah brsimpati, berperibadi, dan selalu mencari makna dalam kehidupan
  • Saya inginkan perhubungan yang mesra dan mengasihani
  • Ada kebolehan untuk menyelami perasaan dan pemikiran orang lain
  • Bersedia dan sanggup memberi penjelasan untuk memberikan penerangan.
  • Mesra, taat, menyayangi dan baik hati
  • Mudah terasa dan lemah lembut
  • Saya seorang suka berkarya, memberi ilham dan poetis
  • Saya seorang yang romantis, bersemangat, gembira dan imaginative
  • Saya adalah seorang yang poetis
  • Saya adalah seorang pengaruh dan individu romantis ang semulajadi.
 Ciri-ciri saya di tempat kerja
  • Saya mempunyai dorongan yang kuat untuk mempengaruhi orang lain supaya mereka menikmati hidup yang lebih bermakna.
  • Selalunya saya bekerja dalam bidang seni, komunikasi, pendidikan, dan profesion menolong orang lain.
  • Saya mahir dalam memberi motivasi dan berinteraksi dengan orang lain.
 Ciri-ciri saya semasa kanak-kanak
  • Saya sangat sensitif.
  • Agak sukar untuk menyesuaikan diri dalam strktur sekolah
  • Saya mahukan pengiktirafan
  • Tidak sukakan perbalahan atau penolakan dalam diri saya.
  • Saya sukakan galakan dan bukannya persaingan. Tidak suka dibanding-bandingkan dengan orang lain.
 4.   JINGGA – ORANGE
 Ciri-ciri umum
Saya adalah seorang yang cergas, pandai menggunakan kesempatan, bersifat spontan, suka kepada pertandingan, tergopoh gapah tetapi bersemangat, realistik, tidak dipengaruhi oleh sentiment, berfikiran terbuka, gemar pengalaman luar biasa yang merbahaya tetapi menyeronokkan, berani, tabah, bertindak atas desakan fikiran, suka keseronokkan , gurau senda, tabah dan tidak takut serta berkemahiran. Kata kunci utama ialah suka mengembara atau adventurous.
 Ciri-ciri diri saya
  • Bertindak secara spontan, suka berjenaka, pandai dan menawan
  • Menganggap hidup sebagai satu permainan
  • Cergas, giat, dan pandai menggunakan kesempatan yang ada
  • Sukakan keseronokkan dan sesuatu yang memberangsangkan
  • Tabah menghadapi sesuatu dan tidak gentar
  • Kadangkala mengambil tindakan yang tergopoh gapah, tetapi bersemangat dan boleh menimbulkan kesan yang mendalam
  • Seorang yang realistik, tidak dipengaruhi sentiment dan berfikiran terbuka.
  • Gemar kepada pengalaman yang luar biasa iaitu membahayakan tetapi menyeronokkan
 Ciri-ciri saya di tempat kerja
  • Sering bosan dan gelisah jika dapat kerja yang berstruktur, rigid dan mengikut rutin.
  • Berpuashati dalam kerja yang memberikan kebebasan dapat menggunakan koordinasi fizikal dan alatan
  • Saya seorang performer yang semulajadi
 Ciri-ciri saya semasa kanak-kanak
  • Saya rasa jika dibandingkan dengan pelajar lain, saya menghadapi kesulitan besar untuk menyesuaikan diri dengan rutin sekolah.
  • Saya belajar dengan membuat atau mengalami dan bukannya membaca atau mendengar
  • Dalam proeses pembelajaran, saya perlukan penglibatan fizikal
  • Dorongan yang kuat untuk saya ialah sifat suka bersaing dan inginkan kegembiraan atau keseronokkan.
 Penganalisa Data
Semua data yang dikumpulkan daripada soal selidik, akan dianalisis dengan cara manual iaitu dalam bentuk peratusan untuk menjawab persoalan kajian.
 Dapatan Kajian 
Kajian cuba melihat kecenderongan tingkahlaku pelajar perempuan Tingkatan Lima, perbandingan tingkahlaku pelajar tersebut mengikut kelas dan hubungan di antara personaliti pelajar dengan pencapaian akademik mereka. 
  1. Kecenderongan  Tingkahlaku Pelajar Perempuan Tingkatan Lima. 
Kajian mendapati secara keseluruhan kecenderongan tingkahlaku pelajar perempuan Tingkatan Lima ialah lebih condong kepada personaliti Emas iaitu sebanyak 45.23%. Personaliti Emas ini  mengambil kata kunci bertanggungjawab. Ia termasuklah praktis, waras fikiran , sistematik , bersifat keibubapaan dan sanggup bekerja keras.  
Personaliti tingkahlaku yang kedua ialah personaliti Jingga iaitu 26.19%. Ia bermaksud gemar ‘adventurour’ dan mengembara. Personaliti ini sering bosan dan gelisah jika dapat kerja yang berstruktur, rigid dan mengikut rutin. Personaliti ini berpuas hati bila diberi kebebasan melakukan kerja. Suka bebas dan gemar kepada pengalaman yang luar biasa iaitu membahayakan tetapi menyeronokkan. 
Personaliti Hijau adalah personaliti yang ketiga yang dimiliki oleh pelajar Tingkatan Lima iaitu sebanyak 19.04%.  Ciri-ciri yang dimiliki bagi personaliti ialah cenderung dan cekap dalam berbagai lapangan, cenderung merekacipta, cekap dalam menjalankan tugas dengan sempurna, bersifat ingin mengetahui, memahami konsep, berpengetahuan luas, berdasarkan teori, bijak dan mahir, panjang akal, kompleks, tenang dan sabar, berfalsafah, berprinsip dan berasaskan logik.  Kata kunci utama ialah mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. 
Personaliti yang akhir yang dimiliki oleh pelajar perempuan Tingkatan Lima ialah personaliti Biru iaitu 9.52%. Personaliti ini menggambarkan seseorang yang romantis dan harmoni. perhubungan mesra, mengasihani, bersimpati, unik, berkebolehan mengalami perasaan dan fikiran orang lain, penyayang dan setia, mesra, berseni, orang yang memberi inspirasi, riang, gembira, penuh kasih sayang, bersemangat dan mempunyai perasaan simpati. Kata kunci utama ialah romantis dan sukakan keharmonian. 
Dapat disimpulkan di sini bahawa pelajar perempuan Tingkatan Lima lebih cenderung kepada personaliti Emas .Ini menunjukkan bahawa mereka lebih  bertanggungjawab dan mengikut peraturan.
2.  Perbezaan Personaliti Mengikut Tingkatan.
Hasil kajian mendapati bahawa Tingkatan 5 ST 1 lebih condong kepada personaliti Jingga 48.85%, Emas 33.3%, Hijau 23.8% dan tidak ada seorang pun yang memiliki personaliti warna Biru. Sementara tingkatan 5 ST 2 pula berbeza dengan tingkatan 5 ST 1 di mana mereka cenderong kepada personaliti Emas iaitu sebanyak 57.14%, Biru 19.04%, Hijau 14.28% dan Jingga 9.52%. 
Dari sini dapat dinyatakan bahawa kebanyakkan pelajar dari tingkatan 5 ST 1 lebih gemar kepada adventurour, aktif , suka kepada persaingan dan mudah bosan dengan peraturan yang rigid.  Mereka lebih gemar diberi kebebasan untuk melakukan kerja. 
Berbeza dengan pelajar perempuan tingkatan 5 ST 2 di mana kecenderongan mereka kepada tingkah laku Emas. Ini menunjukkan kebanyakkan mereka lebih bertingkahlaku suka mengikut peraturan dan bertanggungjawab , bersistematik  dan sanggup bekerja keras.
3.  Hubungan Personaliti Pelajar Dengan Pencapaian Akademik. 
Soal selidik ini telah ditadbir di awal Januari 2005 di mana sampel baru menduduki Tingkatan Lima. Jadi pencapaian akademik mereka diambil dari keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan empat. 
Melihat pencapaian akademik sampel menunjukkan bahawa personaliti pelajar mempengaruhi pencapaian akademik mereka.  Pencapaian  5 ST 1 menunjukkan seramai tiga orang pelajar mendapat 8A sementara  tiga orang pelajar 5 ST 2 mendapat 7A. di sini menunjukkan ada hubungan di antara pencapaian akdemik pelajar dengan personaliti tingkahlaku pelajar.
 Implikasi dan cadangan 
Alat pengukur personaliti yang digunakan bukanlah sesuatu yang konklusif tapi alat pengukur ini diambil untuk dijadikan pencetus perbincangan. Apa yang penting ialah bukan kepada alat ukurnya tetapi kepada hasil perbincangan yang dijalankan setelah alat ini digunakan. 
Dari personaliti yang dimiliki oleh pelajar-pelajar perempuan tingkatan lima ini boleh dijadikan panduan kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa . sebelum mengambil tindakan ke atas pelajar-pelajar, seharusnya pengetua mengenali personaliti dan tingkah laku pelajarnya. Kesukaran mengenali personaliti mereka akan menyebabkan pelanggaran disiplin dan seterusnya merosakkan peribadi dan sahsiah mereka. kebijaksanaan pengetua dalam melakukan hubungan baik, mesra dan penuh kasih sayang akan memberi input yang berguna dan bermakna bukan sahaja kepada pencapaian akademik malahan kepada pembangunan sekolah yang dipimpin. 
Bagi guru-guru, mengenali personaliti pelajar-pelajarnya adalah amat penting. Ini kerana menyenangkan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil dari pengetahuan personaliti ini bolehlah guru-guru membuat aktiviti yang bersesuaian dengan tingahlaku mereka. guru-guru juga boleh merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai mengikut personaliti pelajar tersebut. Pengetahuan personaliti pelajar yang dikuasai oleh guru-guru akan menyebabkan pengajaran dan pembelajaran guru-pelajar akan menjadi lebih menarik dan seronok. Hal ini juga akan menarik pelajar supaya sentiasa datang ke sekolah dan mengurangkan kadar ponteng sekolah pelajar-pelajar. 
Bagi ibu bapa pula, pengetahuan personaliti anak-anak mereka akan memudahkan mereka menangani masalah yang dihadapi oleh mereka. ibu bapa tidak akan sewenang-wenangnya menghukum dan memberi persepsi yang negatif terhadap anak-anak mereka kalau sekiranya ibu bapa tersebut mengetahui personaliti  mereka. 
Bagi mengekalkan personaliti yang dimiliki oleh pelajar-pelajar tersebut, sokongan dan bimbingan dari orang-orang dewasa amat diperlukan.  Sokongan ini diperlukan bagi membolehkan pelajar menguasai pelbagai tugas perkembangan remaja sebagai persediaan menghadapi alam dewasa.
 Cadangan
Kajian ini tidak boleh digeneralisasikan kerana ia hanya terbatas kepada sekolah kajian sahaja. Walau bagaimanapun diharapkan kajian-kajian yang lebih besar sampel diperlukan untuk melihat personaliti pelajar remaja.  
Untuk lebih menarik, saya cadangkan agar kajian ini diperluaskan skopnya. Skop tersebut meliputi:
  1. Perbezaan personaliti di antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki.
  2. Perbezaan personaliti di antara pelajar menengah rendah dengan pelajar menengah atas.
  3. Perbezaan personaliti di antara pelajar sekolah menengah aliran biasa dengan pelajar sekolah menengah aliran agama.
  4. Hubungan personaliti pelajar dengan kerjaya ibu bapa.
Rumusan 
Mengenali personaliti pelajar remaja adalah amat penting. Pentadbir, guru-guru dan ibu bapa harus berperanan memberi perhatian  yang serius kepada personaliti mereka. Sokongan dan bimbingan juga diperlukan agar pelajar remaja terarah kepada personaliti yang diharapkan dan membanggakan. Generasi yang lahir nantinya adalah generasi yang mencapai matlamat wawasan negara iaitu Wawasan 2020 .


SOAL SELIDIK PERSONALITI WARNA

Matlamat:  Membantu individu menilai diri dengan lebih berstruktur

Pelaksanaan :  Arahan : Tandakan ( / ) bagi kenyataan yang menggambarkan diri anda di ruang “Ya”.  Tandakan (X) di ruang tidak jika kenyataan tidak menggambarkan diri anda.

Ini bukanlah satu ujian oleh itu tidak ada jawapan yang betul atau salah. Ia hanya merupakan kenyataan yang memperihalkan diri mengikut pandangan anda.


BIL
ITEM
YA
TIDAK
  1.  
Saya cepat menyesuaikan diri dengan situasi baru


  1.  
Saya lebih tua dari umur sebenar saya daripada segi pemikiran


  1.  
Saya mudah mesra bila berhubung dengan orang lain


  1.  
Saya adalah dalam golongan orang yang pandai


  1.  
Saya amat selesa dengan pengekalan cara hidup tradisi


  1.  
Saya bersemangat mengikuti subjek yang merangsan minda


  1.  
Saya suka kelihatan berbeza daripada orang lain


  1.  
Saya isikan masa lapang dengan aktiviti luar yang menyeronokkan


  1.  
Saya sangat menghargai kehidupan berkeluarga


  1.  
Saya sentiasa membaca untuk menambah ilmu pengetahuan


  1.  
Saya suka menunjukkan keperibadian saya sebenar dalam semua keadaan


  1.  
Saya suka bergaul dengan semua orang


  1.  
Saya akan melakukan segala kerja secara bersistematik


  1.  
Saya sering bertanya guru mengenai persoalan yang mengganggu minda saya


  1.  
Saya selalu memberi dorongan kepada orang lain untuk melakukan sesuatu pekerjaan


  1.  
Saya tidak gentar dengan sebarang cabaran


  1.  
Saya selesa menghormati pihak berkuasa


  1.  
Guru merupakan orang yang sangat saya hormati


  1.  
Saya senang berinteraksi dengan orang lain


  1.  
Saya seorang yang suka aktiviti perkhemahan


  1.  
Saya mempunyai emosi yang stabil


  1.  
Saya berminat meneroka semua bidang


  1.  
Saya cenderung memilih pekerjaan dalam bidang pendidikan


  1.  
Persaingan adalah baik bagi saya


  1.  
Saya sentiasa patuh kepada peraturan walau di mana saya berada


  1.  
Saya seorang yang sabar


  1.  
Saya amat sesuai melibatkan diri dalam aktiviti menolong orang lain.


  1.  
Saya sukakan perkara yang berbentuk amali daripad teori


  1.  
Saya amat menghargai masa


  1.  
Saya suka menganilisis diri sendiri dan orang lain


  1.  
Saya lebih suka melibatkan diri dalam pekerjaan yang ada unsur-unsur kesenian


  1.  
Saya selalu menimbulkan suasana keceriaan ketika tegang


  1.  
Saya sanggup bekerja keras untuk kepentingan organisasi


  1.  
Saya akan berpuas hati setelah kerja disiapkan dengan sempurna


  1.  
Saya berkebolehan menyelami perasaan orang


  1.  
Saya selalu memberikan gerakbalas yang spontan dalam setiap tindakan


  1.  
Saya selesa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan


  1.  
Saya suka kepada sesuatu luar biasa dan mencabar


  1.  
Saya memiliki cirri-ciri seorang pengasuh


  1.  
Saya suka kepada sesuatu yang luar biasa dan mencabar


  1.  
Saya seorang yang suka berjimat cermat


  1.  
Saya sering meminta penjelasan tentang sesuatu persoalan


  1.  
Saya percaya setiap orang mepunyai harga diri


  1.  
Saya sukakan aktiviti yan berbahaya tetapi menyeronokkan


  1.  
Saya tidak suka berpakaian yang selekeh


  1.  
Saya suka kepada perkara yang memerlukan aktiviti penyelidikan


  1.  
Saya lebih bermotivasi sekiranya diberi dorongan


  1.  
Saya seorang yang kelakar


  1.  
Saya sering kali bersifat konkrit


  1.  
Saya gemar membahaskan teori


  1.  
Saya tidak berminat dengan aktiviti yang melibatkan persaingan


  1.  
Saya tidak suka pelajaran yang memerlukan pembacaan yang banyak


  1.  
Saya seorang bertanggungjawab


  1.  
Saya mempunyai prinsip hidup yang jelas


  1.  
Saya mahu mendapat kepujian daripada orang lain di atas setiap kejayaan saya.


  1.  
Saya suka ko kurikulum yang lasak


  1.  
Saya bersifat keibubapaan


  1.  
Saya cenderung merekacipta sesuatu yang baru


  1.  
Keadaan perbalahan selalu mengganggu emosi saya


  1.  
Saya bosan dengan kerja berstruktur


  1.  
Saya seorang yang mementingkan keharmonian


  1.  
Saya berkebolehan menjalankan sesuatu tugas dengan sempurna


  1.  
Saya seorang pendengar yang baik


  1.  
Saya bosan dengan kerja-kerja yang rigid


  1.  
Saya seorang yang amanah


  1.  
Saya sentiasa bersifat ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu


  1.  
Saya seorang yang mudah menyayangi orang lain


  1.  
Saya bosan dengan kerja yang rutin


  1.  
Saya sentiasa bersedia untuk melakukan kerja


  1.  
Saya adalah seorang yang tenang


  1.  
Sekali sekala saya mudah terasa apabila orang lain bercakap mengenai diri saya


  1.  
Saya puashati dengan kerja yang melibatkan kebebasan


  1.  
Saya selalunya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan


  1.  
Saya berminat menyertai pertandingan yang mencabar minda


  1.  
Saya tidak gemar menonton cerita yang berunsur keganasan


  1.  
Saya puas hati dengan kerja yang dapat menggunakan ko ordinasi fizikal


  1.  
Saya berpuashati kerana dapat menolong seseorang yang memerlukan pertolongan


  1.  
Bagi  saya kerja itu adalah satu permainan


  1.  
Saya mudah rasa bersalah apabila tidak mematuhi nasihat ibu bapa


  1.  
Saya puas hati dengan kerja yang menggunakan alatan


  1.  
Saya selalu memastikan kestabilan dalam suasana pekerjaan


  1.  
Saya seorang yang sangat menyukai tugas yang mencabar


  1.  
Saya mudah memaafkan kesalahan orang lain


  1.  
Saya seorang performer semulajadi


  1.  
Saya seorang yang teliti dalam membuat sesuatu pekerjaan


  1.  
Saya suka merekacipta sesuatu model


  1.  
Saya mudah simpati kepada seseorang walaupun ternyata dia bersalah


  1.  
Saya tidak suka dikongkong


  1.  
Saya sentiasa bersifat wajar dalam membuat sebarang keputusan


  1.  
Saya lebih suka meneroka idea-idea baru


  1.  
Saya suka meniru gaya orang lain


  1.  
Saya tidak suka pada peraturan


  1.  
Saya berkebolehan untuk mengendalikan urusan yang memerlukan perincian


  1.  
Saya berminat untuk menyertai aktiviti-aktiviti berbentuk ilmiah


  1.  
Zaman persekolahn saya begitu membosankan kerana terpaksa mengikut peraturan


  1.  
Pekerjaan tanpa jadual sangat menarik minat saya


  1.  
Saya mahir menyusun atur tempat kerja


  1.  
Saya akan beralih ke projek yang baru setelah menyelesaikan tugas yang lama


  1.  
Saya suka berkhayal tentang masa depan


  1.  
Saya suka melakukan kerja tanpa tekanan




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...