Followers

Wednesday, May 4, 2011

PRESTASI GURU CEMERLANG



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Cemerlang, Putrajaya, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 15 April 2011 – Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah.

Tujuan utama kerajaan meluluskan kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang dikenali dengan Guru Cemerlang adalah untuk mengiktiraf khidmat guru-guru yang cemerlang di bilik darjah dan mewujudkan peluang kenaikan pangkat secara laluan pantas (fast track) kepada  mereka tanpa perlu ditukarkan ke jawatan pentadbiran secara hakiki. Guru yang dilantik sebagai Guru Cemerlang merupakan guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran, khususnya dari aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Sebagai role model kepada guru-guru lain, sewajarnya Guru Cemerlang menguasai kandungan mata pelajaran kepakarannya, bijak mengurus masa, mampu mengenal pasti masalah pembelajaran murid dan berupaya merangka program pendidikan yang boleh membangunkan potensi murid.  Selaras dengan pengiktirafan dan insentif yang diberikan, Guru Cemerlang yang dilantik berupaya menyumbang tenaga dan kepakaran sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Guru Cemerlang berupaya menjadi sumber inspirasi dan pakar rujuk kepada guru-guru lain untuk mempertingkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. Walaupun tiada halangan bagi Guru Cemerlang untuk memberi sumbangan profesionalisme dalam bentuk perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan warga pendidik yang lain, keutamaan tugas Guru Cemerlang hendaklah diberikan kepada program pembangunan dan peningkatan prestasi murid di sekolah masing-masing.

 Sumber:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...